
Seperti hari-hari biasa aku melangkahkan kaki masuk ke perkarangan sekolah. Seperti hari-hari biasa ada susuk-susuk badan berseluar kelabu sedar beratur meneliti kesalahan para pelajar. Ya. Mereka itu adalah para pengawas. Seperti hari-hari biasa juga, aku masuk melepasi kawasan pagar itu tanpa rasa janggal. Aku tahu, kesalahan
yang mereka cari itu tiada padaku. Semuanya lengkap, semuanya skema. Baik sungguh aku.
Aku mempercepatkan lagi kakiku ke kelas kerana aku benci memandang mata-mata yang memerhatikan aku. Mata-mata itu adalah mata-mata yang kehairanan melihat aku yang membawa beg berat yang dipenuhi buku-buku dan juga beberapa lagi nota tambahan yang kupikul di lengan. Mata-mata itu memandang aku dengan penuh sinis dan mungkin bersuara kecil,
” Eee skema gila. Maklumlah..budak scorer..,” Aku benci mereka. Mata aku tertancap tepat ke arah beg mereka. Bergaya, ringan, dan kosong! Apakah mereka datang ke sekolah persis berjalan-jalan ke pusat membeli belah? Adakah itu yang dinamakan cool? Inikah trend sekarang? Pelbagai persoalan bermain di mindaku.
” Poyo,” getus kecil hatiku.
” Kalau nak melawa, baik tak payah datang ke sekolah,” aku mencebik.
Aku hampir sampai ke kelas. Seperti hari-hari biasa, kelas aku bising, sampaikan boleh didengari sejauh selang empat kelas. Ya, itulah kelas aku. Kelas yang penuh dengan pelbagai personaliti menarik. Kelas yang pernah dulu mencetuskan pelbagai drama. Kelas yang berwarna-warni.
Aku menarik kerusi, meletakkan beg, dan memasukkan nota-nota yang kubawa di tangan tadi ke bawah meja.
Corong pembesar suara sudah berbunyi seperti hari-hari biasa supaya menyuruh para pelajar beratur di luar kelas. Sebarang pengumuman akan diwar-warkan pada masa itu.
Beberapa kali aku menguap. Barangkali malam tadi aku tidur agak lewat kerana menyiapkan nota. Aku melihat rakan-rakan yang lain yang sungguh rancak berbual seperti sepuluh tahun tidak berjumpa. Dari isu gosip sehinggalah kepada isu yang serius seperti
” Wehhhhh semalam…. beg yang aku nak tu dah sold out bodo…,”
” Beg yang butang dier kat tepi tu ergh. Babi! takkan dah habeh lahanat…,”
Mereka berbicara dengan penuh serius sambil memikirkan cara untuk mencari beg yang dikatakan lawa itu. Terkerut-kerut dahi mereka berfikir. Oh, pedulikan bahasa mereka. Kasar dan ke Melaka-an.
Sesi beratur beramai-ramai di luar sebelum masuk ke kelas sudah pun tamat. Satu haram jadah perkataan pun aku tak dengar. Mereka-mereka itu menyambung perbualan mereka di belakang kelas dan aku ke tempat dudukku.
Seperti hari-hari biasa sesi pembelajaran kami adakalanya menarik dan adakalanya bosan. Masa pantas berlalu. Jam telah menunjukkan tepat pukul 1 : 55 petang.
Sebentar lagi loceng akan berbunyi dan aku bersiap sedia untuk pulang, makan tengahari, tidur petang, makan malam, menonton televisyen, membuat nota pada pukul 1 pagi, dan tidur. Seperti hari-hari biasa.
Tetapi hari ini, bukan hari-hari biasa. Hujan renyai. Aku bangun ke sekolah dalam keadaan berpayung. Tidak membawa beg beratku dan aku hadir ke sekolah dengan rasa yang serba kekurangan. Aku ditahan oleh para pengawas yang berpayung pada pagi itu. Aku ditahan atas kesalahan tidak memakai lencana, tidak bertali leher, dan tidak memasukkan baju sepenuhnya ke dalam seluar. Ya, aku memang selekeh pada hari itu. Nanti. Bukankah aku kelihatan cool?
Selepas di tahan, aku menuju ke kelas. Seperti yang kukata sebelum ini, ada mata-mata yang bersuara memandang aku. Tetapi tidak seperti hari-hari biasa. Hari ini mereka memandang aku dengan pandangan yang lain. Hah, mereka senyum kepadaku? Apakah aku tidak menutup kancing seluar? Tidak mungkin. Aku membalas senyuman.
Aku masuk ke kelas untuk meletakkan barang dan keluar beratur seperti hari-hari semalam tetapi kali ini aku beratur di belakang.
” Mungkin ko boleh cari beg tu dekat Plaza thoo. Dengar cerita beg-beg kat situ semuanya latest-latest. Kedai dia bersebelahan dengan kedai buku. Ko gi ar usha,” Aku bersuara menyelit di antara perbualan mereka.
Mereka-mereka yang berborak kelmarin terdiam. Dan hari ini, aku rasa aku adalah orang yang paling banyak bercakap. Aku menceritakan cerita Ally McBeal yang aku tonton malam tadi sambil meniru babak-babak yang aku ingat pada malam tadi. Mereka tertawa dan kebanyakan mereka mendengar aku bercerita. Mereka tidak banyak bercakap. Kami masuk ke kelas setelah tamat perhimpunan kecil di luar kelas itu.
Sesi pembelajaran aku hari ini dirasakan sangat aneh. Aku tidak membawa nota dan buku-buku yang berat. Aku hanya membawa buku conteng untuk aku mencatat atau melukis. Dan hari ini, aku banyak melukis. Segala ilmu yang dicurahkan cikgu-cikgu aku hari ini, aku tepis perlahan-lahan dan ada kalanya aku tersengguk dan tertidur.
Acap kali sudah namaku dipanggil oleh cikguku kerana tidak memberi tumpuan semasa beliau mengajar. Apa yang menghairankan, pada hari itu aku berani menjawab dengan jawapan yang ada kalanya sarkastik dan lancang. Lebih menghairankan, aku tidak rasa bersalah dan kurang ajar.
Aku dipanggil oleh guru kelas aku. Berbuih-buih guru kelasku bertanya kepadaku,
” Apa masalah awak? Awak ada masalah ke? Masalah kawan-kawan? Masalah peribadi? Masalah…..,” Itu sahaja yang aku dengar. Masalah, masalah, masalah. Rasanya aku tidak mempunyai masalah. Adakah guru kelasku yang mempunyai masalah untuk memahami aku? Aku tidak perlu difahami kerana tiada apa yang sukar fasal aku. Aku bukan matematik!
Aku pulang ke rumah pada tengah hari. Ya, aku keluar melalui pagar belakang sekolah dengan penuh debaran. Aku seperti pelarian yang mahu melepaskan diri dari penjara. Nasib aku, aku berjaya pulang ke rumah dan terus tidur sehingga ke pagi. Adakalanya ibuku masuk ke bilikku bertanyakan jika aku lapar atau mempunyai masalah. Hairannya, aku tidak berasa lapar dan semestinya aku tidak mempunyai masalah.
Aku bangun dan bersiap-siap mahu sekolah. Sebenarnya semalam adalah hari aku menjadi bukan diriku. Aku telah mencabar diriku sendiri untuk menjadi mereka. Mereka-mereka yang tidak mengambil peduli tentang persekitaran mereka. Mereka-mereka yang datang ke sekolah semata-mata kerana terpaksa pergi ke sekolah. Mereka yang bersungguh-sungguh melepaskan diri dari “penjara”.
Itu adalah pengorbanan aku. Pengorbanan aku seketika untuk merasai apa yang mereka lalui pada hari-hari di sekolah. Pengorbanan yang boleh dianggap sebagai satu kebodohan. Aku tersenyum. kebodohan itulah yang telah menjadi sebahagian memori dalam hidupku. Kebodohan itulah yang ada kalanya mencuit hati kecilku.
Kini, aku sudah mengerti. Semuanya harus berada di dalam keseimbangan. Kita tidak boleh menjadi terlalu baik kerana akan dipijak kerana kenaifan. Dan tidak boleh menjadi terlalu jahat kerana akan dikeji orang. Kesemuanya harus diimbang. Kebodohan yang aku lalui itu adalah satu pengorbanan aku yang telah membentuk diri aku kini.
Kadangkala pengorbanan itu tidak dapat dirasai sepenuhnya dengan cara yang konvensional. Kadangkala pengorbanan itu dinamakan pengorbanan melalui kebodohan. Aku tidak menganggap pengorbanan itu harus melibatkan kebodohan tetapi kadangkalanya ia dikecap melalui cara yang sedikit berbeza.
Popularity: 29% [?]



No User Comments Yet. In This Post
Subscribe To This Post Comment Rss Or TrackBack URL